Search

Beruk ‘serang’ penduduk Pulau Sakar

June 12, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Penduduk Pulau Sakar, di sini, bimbang dengan kehadiran beruk liar yang dilaporkan sering mengganggu dan menceroboh rumah termasuk mencederakan penduduk kampung.

Malah, haiwan liar berkenaan turut dikatakan sering merosakkan tanaman dan harta benda selain mencuri makanan penduduk.

Bimbang dengan beberapa insiden sebelum ini, penduduk menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya mengambil tindakan segera berikutan dua penduduk diserang haiwan berkenaan minggu lalu.

Penduduk yang enggan dikenali berkata, kejadian terbaru berlaku pada jam 4 petang Selasa lalu apabila bapa saudaranya yang sedang tidur di beranda rumah diserang oleh beruk liar.

Malah katanya, mangsa yang mengalami kecederaan di kaki, cuba diserang semula oleh haiwan liar berkenaan namun mangsa sempat mengambil sebilah parang untuk menghalaunya.

“Mangsa terpaksa bergegas ke tanah besar menggunakan bot sebelum dihantar ke Hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Difahamkan, seorang kanak-kanak di Kampung Tanjung Paras, Pulau Sakar turut diserang oleh monyet liar baru-baru ini.

“Kami berharap pihak berkuasa yang berkaitan akan mengambil tindakan berhubung perkara ini kerana penduduk kini terpaksa hidup dalam ketakutan dengan kehadiran haiwan liar ini,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu, Hairulnizam Hasnan ketika dihubungi berkata, mereka telah menerima laporan mengenai insiden berkenaan.

Beliau memaklumkan, buat masa ini, pihaknya akan memasang perangkap untuk menangkap haiwan liar berkenaan dan akan memindahkannya ke Hutan Simpan Tabin sebaik berjaya ditangkap. – Info X