Search

Blok Borneo tidak pernah wujud, Persekutuan, negeri perlu kerjasama – Hajiji

March 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menolak kewujudan mana-mana blok wilayah yang memisahkan antara wilayah Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Beliau berkata, Blok Borneo yang didakwa mahu mengawal Semenanjung tidak pernah wujud, malah tidak pernah wujud sebarang blok wilayah di negara ini.

Katanya, negeri dan Persekutuan dan semua wilayah serta negeri di Malaysia perlu saling bekerjasama bagi menjadikan negara ini cemerlang.

“Tiada Blok Borneo, kita dalam negara Malaysia adalah satu negara, tiada Blok Borneo, Blok Sabah, Sarawak dan Blok Semenanjung, tiada.

“Jadi, saya ingin nyatakan kita dalam satu negara perlu ada kerjasama semua pihak, negeri dan federal, negeri dan negeri, jiran-jiran sama-sama cemerlangkan lagi negara Malaysia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) Tahun 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis.

Hajiji diminta menyatakan pandangannya mengenai Blok Borneo yang menjadi perdebatan selepas seorang pemimpin di Semenanjung menganggap Blok Borneo bertujuan untuk mengawal Semenanjung.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata beliau berpandangan tiada siapa yang membentuk Blok Borneo dan sebarang naratif seperti itu perlu dibetulkan.

“Kalau pandangan saya, tiada Blok Borneo, siapa yang buat blok Borneo? Tiada, itu tidak timbul. Naratif begitu perlu dibetulkan.

“Kita tidak boleh bezakan Sabah, Sarawak daripada negeri lain di Semenanjung dalam satu negara,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri memantau konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah ketika ini, terutama kesan terhadap harga minyak yang bakal dirasai Sabah dan Malaysia.

“Kita sedang memantau keadaan, memang kadang-kadang kalau ada konflik begini terutama melibatkan negara pengeluar minyak, tentu ada kesan bukan saja kepada Malaysia tetapi juga negara lain,” katanya.-Info X