Search

Ratusan ribu pelajar Sabah terima manfaat 14 inisiatif bantuan pendidikan – KM

March 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan menerusi 14 inisiatif bantuan pendidikan dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar di seluruh negeri, masing-masing 90,296 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 184,911 pelajar sekolah.

Katanya, ia membabitkan sebanyak 1,500 sekolah termasuk sekolah agama dan 57 persatuan pelajar IPT Sabah dengan sebanyak 362 program pendidikan dilaksanakan setakat ini.

Beliau berkata, bagi tahun ini saja, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar.

“Peruntukan besar ini membuktikan kemampuan dan komitmen tinggi kerajaan dalam membela nasib rakyat Sabah melalui pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan SENTOSA secara tunai.

Hajiji berkata, bantuan berkenaan diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa anak-anak Sabah yang berusaha menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri.

Jelasnya, bantuan itu juga diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.

“Tahun ini, dianggarkan seramai 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kesemua 14 inisiatif pendidikan tahun ini merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).

Turut diteruskan ialah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), SENTOSA, Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) serta bantuan baharu Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU).

Hajiji berkata, inisiatif berkenaan berbentuk dana dan kemudahan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar IPT, program pendidikan serta kelengkapan kemudahan dan digital selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Hajiji menegaskan, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kerajaan negeri tetap proaktif menjalin kerjasama berterusan demi memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sabah.

Katanya, usaha itu selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 yang menjadi pelan strategik utama melonjakkan daya saing dan produktiviti negeri secara mampan serta inklusif.

“Pelajar adalah pemimpin pelapis masa depan. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran dan latihan kerana ilmu adalah kunci utama memajukan negeri dan negara.

“Manfaatkan sepenuhnya subsidi tiket, bantuan tunai dan zakat yang disediakan kerajaan, selain mengambil tahu setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur air, jalan raya dan elektrik,” katanya.-Info X