Search

Lelaki maut, motosikal bertembung pacuan empat roda ketika membuat pusingan U

March 5, 2026

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Leila, di sini, tengah malam tadi.

Lelaki warga tempatan berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu.

Pemandu kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bersama dua penumpang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan pacuan empat roda yang membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Leila.

“Pemandu yang berusia 31 tahun kemudian ditahan reman untuk siasatan lanjut.

“Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

George turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi had laju, papan tanda, lampu isyarat dan menjaga jarak selamat bagi mengelak kemalangan berlaku. – Info X