PAPAR: Sebutir lagi bom lama tinggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui di tapak pembinaan berhampiran Lok Kawi Plastic Industries, Kinarut, di sini, berjaya dimusnahkan, hari ini.
Bahan letupan jenis lama ‘Unexploded Ordnance (UXO) Aerial Bomb yang dipercayai masih aktif dimusnahkan dengan tiga kali letupan secara berperingkat bermula jam 11.55 pagi hingga 1.25 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang operasi kerja-kerja letupan dilakukan.
“Sebelum pemusnahan bom dijalankan, pihak polis memaklumkan kepada pelbagai agensi terlibat termasuk Jabatan Alam Sekitar.
“Selepas selesai kerja meletupkan bom, pasukan Ketua Polis Balai Kinarut bergerak mendapatkan maklumat dari kawasan sekitar untuk mengenal pasti sama ada pihak terkesan akibat letupan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kerosakkan harta benda awam yang dilaporkan berlaku dan aktiviti pemusnahan bom juga berjalan dengan baik dan lancar.
“Aktiviti ini juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah jawatankuasa perancangan operasi dan pengurusan risiko bencana letupan di bawah Nadma,” katanya.
Pagi kelmarin, sebutir lagi bom lama yang masih aktif ditemui pekerja binaan di sebuah tapak pembinaan di Kinarut selepas penemuan bom pertama pada Selasa lalu dan dimusnahkan sehari kemudian. – Info X