Search

Suami isteri parah melecur kebakaran rumah pekerja

March 2, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Suami isteri parah melecur dalam kebakaran membabitkan lima blok rumah pekerja di Jalan Penampang Baru, di sini, tengah hari tadi.

Lelaki berusia 63 tahun dan isterinya berusia 59 tahun melecur seluruh badan dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

Kejadian kira-kira jam 1 tengha hari itu, setiap blok yang menempatkan 38 pintu itu dilaporkan musnah lebih 90 peratus terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.10 petang.

Katanya, sepasukan 17 anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan lima blok rumah pekerja jenis tidak kekal dengan setiap blok mempunyai 38 pintu yang terbakar hampir 90 peratus.

“Terdapat dua mangsa dilaporkan mengalami cedera parah melecur dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 90 meter dengan tiga pancutan dari sumber air dari Water Tanker.

“Api berjaya dikawal pada jam 2.20 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan unit forensik bomba,” katanya. – Info X