TUARAN: Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, di sini membantu mengangkat seorang lelaki dengan berat badan 160 kilogram (kg) selepas tidak sedarkan diri di Kampung Kota, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 5.55 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun dibawa keluar dari rumahnya dan dihantar ke Hospital Tuaran bagi menerima rawatan lanjut.
Ketua BBP Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak ambulans bagi membantu mengangkat mangsa, pada jam 5.58 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota termasuk pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa tidak sedarkan diri dsn sedang diberi rawatan bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mangsa seterusnya dibawa turun dari rumah menggunakan stretcher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Hospital Tuaran menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi ditamatkan pada 6.30 pagi,” katanya. – Info X