Search

Suami maut, isteri parah motosikal terbabit kemalangan

February 5, 2024

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang lelaki maut manakala isterinya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Gomak, Taman Sutera, di sini, pagi tadi.

Mangsa Amir Afzal warga Pakistan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.53 pagi.

Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat mangsa.

Pembonceng motosikal diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan selepas terbabit kemalangan di Jalan Gomak, Taman Sutera, Semporna. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kemalangan berkenaan membabitkan sebuah motosikal bertembung dengan kereta di laluan bertentangan.

“Mangsa yang menunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala isterinya berusia 53 tahun pula cedera parah,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Motosikal dinaiki mangsa bersama isterinya yang terbabit kemalangan dengan kereta di Jalan Gomak, Taman Sutera, Semporna. – Foto/Bomba

Menurutnya, mayat penunggang motosikal terbabit diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Isterinya mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS, sebelum dibawa ke Hospital Semporna menggunakan ambulan, manakala pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kemalangan selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.12 pagi,” katanya. – Info X