Search

Bomba selamatkan 24 mangsa banjir di Nabawan

April 11, 2025

Info X Reporters

NABAWAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memindahkan seramai 24 mangsa selepas rumah mereka di Kampung Indah, di sini, dinaiki air, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua mangsa termasuk 12 kanak-kanak diselamatkan selepas terperangkap di rumah masing-masing.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan Rudy Mekii berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8 pagi.

Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dari BBP Nabawan terus dikerahkan ke lokasi untuk misi menyelamat.

“Sebaik tiba di lokasi, 24 mangsa didapati terperangkap dalam banjir di lokasi berikutan hujan berterusan sejak semalam.

“Sekua mangsa melibatkan empat lelaki dan lapan wanita dewasa, tujuh kanak-kanak lelaki dan lima perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa banjir berjaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Nabawan dalam keadaan selamat.

Katanya, pihak JBPM akan terus melakukan pemantauan berterusan berikutan keadaan cuaca masih tidak menentu. – Info X