Search

Bomba selamatkan lelaki sesak nafas di Bukit Botak

January 31, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang melakukan aktiviti mendaki Bukit Botak@Bonduk di Sepanggar, di sini, terpaksa dibawa turun menggunakan pengusung oleh anggota bomba selepas mengalami sesak nafas, pagi tadi.

Mangsa berusia 30 tahun yang mempunyai berat kira-kira 113 kilogram dipercayai mengalami sesak nafas ketika mendaki ke puncak bukit berkenaan yang popular di kalangan penduduk setempat.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ishak Amran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.10 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke tempat kejadian.

“Sebaik pasukan bomba tiba di lokasi, terdapat seorang mangsa lelaki berat hampir 113 kilogram mengalami sesak nafas dan ada sejarah menghidap asma.

“Mangsa dalam keadaan sedar berada di 500 meter dari mula mendaki bukit berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pasukan bomba menggunakan Junkin Stretcher untuk membawa turun mangsa. – Foto/Bomba

Menurutnya, mangsa diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS di lokasi kejadian.

“Pasukan bomba dengan dibantu orang awam menurunkan mangsa menggunakan ‘Junkin Stretcher ‘.

“Mangsa dihantar ke kediamannya selepas menolak untuk dibawa ke hospital,” katanya.

Selepas memastikan tiada lagi bahaya, operasi ditamatkan pada jam 1.45 tengah hari. – Info X