Search

Lelaki ditahan ugut tikam, potong leher warga emas

January 31, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas mengugut untuk menikam dan memotong leher warga emas di Kampung Sungai Imam, di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa lelaki warga emas berusia 66 tahun didatangi lelaki iaitu suspek dalam keadaan marah di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 34 tahun bertindak agresif menyerang mangsa dengan memukuk menggunakan kayu di bahagian bahu.

“Mangsa bagaimanapun sempat menahan menggunakan kedua belah tangannya.

“Selepas itu, mangsa ditolak oleh suspek dan terjatuh lalu tersandar ke dinding rumahnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian mengeluarkan kata-kata ugutan seperti ‘kalau kau balik sini aku akan tikam kau dan potong leher kau’.

“Kejadian itu turut disaksi oleh isteri mangsa. Mangsa yang bimbang dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis.

“Bertindak atas aduan itu, semalam sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai pergi ke sebuah rumah di Kampung Sungai Imam dan menahan suspek terbabit,” katanya.

Jasmin berkata, polis turut merampas sebatang kayu yang digunakan ketika menyerang mangsa.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. – Info X