Search

Bomba selamatkan wanita terperangkap di koridor tingkat 6 apartment

December 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang wanita berusia 19 tahun yang terperangkap di luar koridor tingkat enam sebuah apartment di Jalan UMS, Sepanggar, di sini malam tadi berjaya diselamatkan pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.15 malam.

Katanya, sepasukan anggota bomba bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 17 kilometer dari balai bomba.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati seorang mangsa wanita terperangkap di antara koridor di luar beranda rumah di tingkat enam.

“Pasukan bomba dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE) menggunakan tali dan juga harness pada penyelamat dan juga pada mangsa untuk dibawa turun pada tingkat yang sama.

“Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 20 minit sebelum berjaya menyelamatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Selepas mangsa berjaya diselamatkan dan dipastikan tiada kecederaan, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Pasukan bomba juga melakukan pemantauan susulan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat sebelum menamatkan operasi,” katanya. – Info X