Search

Jeffrey pengkhianat terbesar Sabah, kata Bung Moktar

December 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menafikan dakwaan yang mengatakan pemimpin BN di negeri ini adalah pengkhianat kepada Sabah.

Beliau yang merujuk ucapan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika Majlis Pelancaran Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Ahad, sebaliknya berkata Timbalan Ketua Menteri itu adalah pengkhianat terbesar Sabah.

Katanya, sebagai seorang individu yang menghormati prinsip demokrasi, beliau berpendapat ucapan Jeffrey itu berunsur hasutan, retorik murahan dan hanya menjatuhkan kredibilitinya sendiri.

“Saya tahu Jeffrey sedang berusaha menjadi hero dalam parti GRS yang sedang tenggelam namun tidak berjaya.

“Adalah menjadi hak BN untuk bertanding dan membawa aspirasi rakyat. Sejarah tidak pernah lupa bahawa Jeffrey juga pernah menjadi ahli BN suatu masa dulu.

“Beliau dengan sewenang-wenangnya menuduh orang lain sebagai pengkhianat sedangkan beliau sendiri adalah pengkhianat terbesar di Sabah.

“Bukan hanya dikenali ramai sebagai pengkhianat dengan melompat-lompat parti, malah mengkhianat darah daging sendiri apabila beliau melawan abangnya sendiri pada PRU14 yang lalu kerana ketamakan kuasa,” katanya.

Bung Moktar berkata, sebagai seorang pemimpin, adalah lebih baik Jeffrey memberi tumpuan kepada perkara lebih besar dan utama dalam GRS, seperti skandal rasuah yang tular melibatkan Ketua Menteri dan ADUN GRS.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, momokan ‘rumah kita, kita jaga’ yang dilaung-laungkan GRS adalah satu penghinaan kepada rakyat Sabah kerana rumah yang mereka jaga hampir musnah disebabkan perbuatan meminta dan menerima rasuah.

“Rakyat Sabah melihat skandal rasuah ini yang melibatkan hampir kesemua ahli Kabinet dan pemegang jawatan di dalam GRS, seakan satu sindiket untuk mencuri dan menipu rakyat Sabah.

“Adakah Jeffrey sedar bahawa pemimpin GRS yang mempunyai kuasa, yang membincang agihan keuntungan, yang terperangkap dalam video adalah pemimpin GRS sendiri dan bukan UMNO.

“Ini sebenarnya pengkhianatan yang merosakkan dan menghancurkan masa depan Sabah,” katanya.

Dalam ucapannya sebelum ini, Jeffrey antara lain menyebut bahawa orang Sabah yang menjadi pemimpin parti dari seberang (BN) adalah pengkhianat kepada Sabah. – Info X