Search

Borneo Matsuri dapat sambutan ‘harum mekar’, luar biasa

October 24, 2023

Willie Jude

KOTA KINABALU: Borneo Matsuri iaitu Festival muzik ACG (Anime, Comics, Games) pertama di Borneo yang berlangsung pada penghujung minggu lalu mendapat sambutan luar biasa apabila ribuan pengunjung hadir bagi memeriahkan program julung kali diadakan itu.

Kemeriahannya juga terserlah, apabila rata-rata yang hadir tidak ketinggalan untuk sama-sama mengenakan kostum cosplay masing-masing, sehingga menjadikan festival berkenaan umpama berlangsung di ‘alam fantasi’.

Borneo Matsuri merupakan festival yang dianjurkan bersama oleh KUPIKUPI FM, dengan kerjasama Projek Hikayat dan Hobbycon serta mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah.

Antara kemuncak acara yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad lalu itu termasuklah persembahan bertenaga daripada artis dan penari jemputan yang ternyata berjaya mencuri tumpuan pengunjung.

Antara yang menghangatkan pentas Borneo Matsuri pada program berkenaan termasuk Rina-Hime & Band, Gretchene, Arddley Nicholas, Tuni Sundatang, Pudds, Ema, Apeng dan C Komachi.

Sementara itu, kumpulan penari Zen Oasis juga ternyata tidak mengecewakan apabila mereka tampil dengan aksi yang sangat bertenaga di pentas Borneo Matsuri.

Selain dihidangkan dengan persembahan pentas, pelbagai acara lain turut diadakan termasuk pertandingan cosplay, kuiz anime dan pertandingan Hijabi Coswalk.

Sementara itu, Pengurus KUPIKUPI FM, Lester Calvin Miol menyatakan kesyukuran atas kejayaan penganjuran Borneo Matsuri kali ini.

“Ini festival ACG pertama yang kami anjur, dan ia mendapat sambutan luar biasa dan kami harap Borneo Matsuri akan ‘kembali’ tahun depan.

“Terima kasi kepada semua yang terlibat, terutama para hadirin, petugas yang berkerja keras sama ada di depan atau belakang tabir, anda semua memang terbaik.

“Kami juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaja kami yang dihormati atas sokongan tidak berbelah bahagi bagi membantu menjadikan Borneo Matsuri menjadi satu realiti. 

“Kami berterima kasih kepada penaja kami termasuk F&N, Predator, Hotlink dan Akademi Air Asia komitmen mereka terhadap festival ini.  Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada organisasi yang telah menyokong kami dalam menjayakan Borneo Matsuri seperti Ming Garden Hotel dan Japan Foundation Kuala Lumpur,” katanya. – Info X