Search

PPM patah cubaan seludup 418 karton minuman keras

October 24, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU : Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya mematahkan satu cubaan sindiket penyeludupan dengan merampas 418 karton minuman keras, semalam.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam itu turut berjaya merampas sebuah bot dan enjin yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM285,741 termasuk cukai kastam.

Menurut sumber, bertindak atas maklumat awam, Pasukan Polis Marin (PPM) melancarkan penugasan Op Kontraban di sebuah jeti berhampiran Kampung Kilugus, Menumbok.

Katanya, ketika berdekatan jeti berkenaan, pasukan operasi mengesan sebuah bot yang bergerak menghampiri jeti dalam keadaan mencurigakan.

“Serbuan terus dilakukan dengan menahan bot berkenaan namun beberapa individu bertindak terjun ke sungai dan melarikan diri di kawasan bakau.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap bot berkenaan menemukan pelbagai jenis minuman keras disyaki tidak bercukai,” katanya.

Minuman keras yang dirampas pasukan PPM dalam Op Kontraban di sebuah jeti berhampiran Kampung Kilugus, Menumbok.

Menurutnya, antara minuman keras yang berjaya dirampas adalah jenama Anchor, Guinness, Tiger, Royal Stout dan Chang.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan.

Katanya, semua rampasan dibawa ke Balai Polis Menumbok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967. – Info X