KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas rokok seludup bernilai RM225,000 dalam serbuan di banglo Kampung Sungai Batang, Batu 10, Sandakan, kelmarin.
Serbuan menerusi Ops Taring Landai Khas / Ops Kontraban dijalankan sepasukan PPM Sandakan jam 7.50 malam memeriksa banglo dua tingkat yang mencurigakan.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut menemui beberapa kotak mengandungi rokok tidak bercukai disimpan di ruang tamu rumah berkenaan.
“Rumah itu tidak berkunci serta tidak berpenghuni. Hasil pemeriksaan sebanyak 300,000 batang rokok tidak bercukai ditemui.
“Nilai keseluruhan rampasan rokok berkenaan berjumlah RM225,000,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ahmad berkata, rampas dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – Info X