Search

Kemuka dokumen palsu berkaitan jualan jongkong emas, dua beranak dihadap ke mahkamah

October 25, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua beranak, hari ini, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan penjualan jongkong emas hasil perlombongan galian berharga itu di Bukit Mantri, Tawau antara 2019 hingga Mac tahun ini.

Perbuatan kedua-dua tertuduh itu, Datuk Lo Fui Ming, iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Wullersdorf Resources Sdn Bhd dan anaknya, Lo Teck Yong, yang juga bekas pengarah syarikat sama didakwa menyebabkan kerugian lebih RM1.3 juta kepada kerajaan Sabah.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Jason Juga ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, hari ini.

Fui Ming, 67, berdepan 24 pertuduhan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, manakala Teck Yong, 42, juga berdepan jumlah pertuduhan yang sama, masing-masing mengikut Seksyen 109 yang dibaca bersama Seksyen 418 Kanun Keseksaan.

Semua pertuduhan itu adalah berkaitan kesalahan menipu Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) negeri dengan tidak mengisytiharkan hasil penjualan kuantiti jongkong emas yang sebenar dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada jabatan berkenaan.

Jason kemudian menetapkan wang jaminan masing-masing RM100,000 kepada kedua-dua tertuduh dengan RM50,000 sebagai deposit dan seorang penjamin, manakala pasport kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Berdasarkan fakta kes, syarikat yang dikendalikan oleh kedua-dua tertuduh sebelum ini menjalankan perniagaan perlombongan mineral emas di Bukit Mantri, Tawau.

Berdasarkan syarat perjanjian pajakan tanah dan perlombongan mineral dengan JTU, syarikat berkenaan disyaratkan untuk membayar royalti sebanyak lima peratus daripada hasil penjualan emas yang dilombong di lokasi terbabit kepada JTU.

Dalam tempoh 2019 hingga 2023, kedua-dua tertuduh dikatakan menjual sebanyak 26 jongkong emas secara haram kepada syarikat pembeli dengan tidak mengisytiharkannya dalam dokumen invois yang dikemukakan kepada JTU bagi pengiraan bayaran royalti sebanyak lima peratus.

Penipuan yang dilakukan kedua-dua tertuduh didakwa mengakibatkan kerugian kepada Kerajaan Negeri Sabah dari segi penerimaan bayaran royalti sebanyak lima peratus yang dianggarkan berjumlah RM1.3 Juta.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Disember depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zander Lim Wai Keong, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zahir Shah. – Info X