LAHAD DATU: Seorang nelayan hilang dipercayai dibaham buaya di pesisir pantai Kampung Makuau, Tungku, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa Rusbin Asri, 40, yang berseorangan dikatakan sedang menjalankan aktiviti memukat ikan di kawasan pantai berkenaan.
Kejadian disedari oleh orang kampung yang ternampak mangsa berada di atas bot miliknya dan dibaham buaya manakala bot terbalik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.28 malam.
Katanya, sepasukan anggota bomba bersama agensi keselamatan lain iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar Lahad Datu digerakkan ke tempat kejadian.
“Kejadian membabitkan seorang mangsa dipercayai dibaham buaya ketika menjalankan aktiviti memukat di pesisir pantai berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan namun mangsa belum ditemui,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sumsoa berkata, memasuki hari kedua SAR hari ini, pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian pada 9.34 pagi dan seterusnya operasi pencarian dijalankan.
“Operasi SAR memasuki hari kedua yanh turut dibantu bersama agensi lain dijalankan di sekitar pesisir pantai dan setakat ini mangsa belum ditemui.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X