Search

Bot terbalik: Seorang disahkan meninggal dunia, seorang lagi masih hilang

April 20, 2026

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seorang daripada dua mangsa yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, petang tadi, disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Kota Belud.

Mangsa Mohd Dzul Nazri Abdul, 18, sebelum ini ditemui orang awam kira-kira jam 9.50 malam sebelum dibawa penduduk kampung ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, seorang lagi mangsa berusia 23 tahun masih belum ditemui, manakala operasi pencarian dan menyelamat (SAR) masih giat dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elgie Bakuk berkata, mangsa ditemui oleh orang awam kira-kira 700 meter dari lokasi bot karam.

“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan kenderaan awam, namun disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud.

“Operasi pencarian masih giat dijalankan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini.

Mangsa yang ditemui dihantar ke hospital oleh orang awam untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

Terdahulu, dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik ketika keluar memancing di perairan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang itu, bot membawa lapan individu dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai, menyebabkan dua mangsa berusia 23 dan 18 tahun dihanyutkan arus.

Enam mangsa lain bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai. – Info X