KOTA KINABALU: Sabah FC muncul juara Piala Cabaran MFL selepas menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 dalam perlawanan akhir yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Likas, di sini, malam ini.
Perlawanan yang disaksikan lebih 20,000 penyokong itu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sepanjang masa perlawanan termasuk masa tambahan, sekali gus menjadikan agregat keseluruhan 1-1 selepas dua perlawanan.
Sabah FC yang mendapat sokongan padu penyokong sendiri tampil lebih bertenaga dengan menguasai sebahagian besar permainan, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Penang FC pula tidak mudah mengalah apabila beberapa kali mengancam menerusi serangan balas pantas, tetapi disiplin tinggi barisan pertahanan Sabah FC berjaya mengekang percubaan berbahaya lawan.
Keputusan tanpa jaringan sehingga wisel penamat memaksa perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Dalam penentuan itu, nasib lebih berpihak kepada Sabah FC apabila berjaya menyempurnakan empat sepakan berbanding tiga oleh Penang FC. – Info X
