TAWAU: Seorang remaja perempuan menjadi mangsa rogol selepas dipercayai dibawa keluar dari sebuah kelab malam di kawasan Kubota Central, di sini sebelum dibawa ke sebuah hotel, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan berada dalam keadaan mabuk dan lemah sebelum dibawa seorang lelaki menaiki kenderaan pacuan empat roda.
Mangsa kemudian menyedari dirinya dirogol ketika berada di hotel berkenaan sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya mengesan dan menahan suspek dalam tempoh kurang 24 jam.
“Suspek ditahan di Kampung Pukat dan merupakan lelaki tempatan berusia 28 tahun.
“Semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan golongan wanita agar sentiasa menjaga keselamatan diri, tidak bersendirian serta berwaspada dengan persekitaran.
“Suspek kini ditahan dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X