Search

Bot tunda, lapan kru ditahan tangkap ikan di zon larangan

December 10, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah dan Labuan menahan sebuah bot pukat tunda kerana disyaki melanggar syarat sah lesen menunda bawah tiga batu nautika, semalam.

Bot dikendalikan seorang juragan dan tujuh kru itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang di lokasi 0.7 nautika Barat Pulau Sapi.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, bot peronda Maritim yang sedang melakukan rutin operasi rondaan menahan bot pukat tunda berkenaan hasil daripada pemantauan yang dilakukan secara berterusan.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot yang dinaiki juragan dan tujuh kru melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menunda bawah tiga batu nautika.

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati, dua daripada kru bot melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Selain itu, beliau berkata kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 turut dikesan selepas gagal melaporkan pertukaran nakhoda.

“Bot dan kru yang ditahan bersama ikan campur anggaran 30 kilogram diring ke Jeti APMM, Sepanggar untuk siasatan lanjut.

“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM120,000,” katanya.

Jelas beliau lagi, APMM akan memantau kawasan tumpuan di mana aktiviti ini sering dilakukan oleh bot-bot nelayan yang ingkar dan mengabaikan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan.

Berikutan itu, beliau menyeru kepada orang awam terutamanya komuniti maritim untuk terus menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terdapat apa-apa aktiviti yang mencurigakan melalui saluran yang betul dengan memaklumkan pihak APMM dengan kadar segera. – Info X