Search

DAP Sabah diberi mandat kaji semula kedudukan dalam kerajaan negeri

December 11, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP memberi mandat penuh kepada pimpinan DAP Sabah untuk mengkaji semula kedudukan DAP dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan mengambil tindakan selanjutnya.

Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, langkah itu berikutan pendedahan video didakwa skandal rasuah yang membabitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Menteri Pengangkutan itu berkata perkara berkenaan dibincang dan diputuskan pada mesyuarat CEC DAP malam tadi yang diadakan di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur.

Katanya, pada mesyuarat itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe memberi penerangan secara terperinci berkaitan pendedahan beberapa video skandal tuduhan rasuah terbabit.

“Berikutan pendedahan beberapa video skandal tuduhan rasuah yang melibatkan beberapa pemimpin kanan kerajaan di Sabah, Pengerusi DAP Sabah telah memberikan penerangan secara terperinci berkenaan isu tersebut dalam mesyuarat.

“CEC menegaskan pendirian DAP yang tidak berkompromi dengan segala amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan serta menyeru pihak SPRM menyiasat kes tersebut dengan tegas,” katanya.

Ketika ini, DAP Sabah melalui Pakatan Harapan (PH) Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Seorang ADUN mewakili DAP, iaitu Pengerusinya, Datuk Phoong Jin Zhe turut mempunyai jawatan menteri dalam Kabinet negeri dengan memegang portfolio Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.

Selain ADUN Luyang itu, seorang lagi iaitu ADUN Likas, Tan Lee Fat memegang jawatan Pembantu Menteri Kewangan Sabah.

DAP Sabah ketika ini diwakili empat ADUN, dengan dua lagi ialah ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang dan ADUN Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon.

Mereka bersama dua ADUN PKR dan seorang ADUN UPKO menyokong kepemimpinan Hajiji dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika berlaku kemelut politik Sabah yang menyaksikan cubaan menjatuhkan kerajaan negeri menerusi Langkah Kinabalu oleh Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan pada awal 2023.

Sokongan mereka menggagalkan cubaan berkenaan dan selepas itu dua pemimpin PH Sabah dilantik sebagai menteri, manakala dua dilantik sebagai pembantu menteri dalam rombakan Kabinet negeri yang dilakukan Hajiji. – Info X