TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tawau menahan sebuah bot tunda yang membawa muatan 856 batang kayu balak selepas disyaki melanggar syarat sah lesen, kelmarin.
Bot tunda itu ditahan bot peronda APMM yang menjalankan Ops Khas Pagar Laut, Ops Pluto Timur dan Ops Tiris di kedudukan 0.4 batu nautika selatan muara Sungai Logpon, jam 10.40 pagi.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, ketika menjalankan rondaan, mengesan sebuah bot tunda bersama barge berisi kayu balak bergerak dari perairan Kalabakan menuju ke perairan Tanjung Batu Logpon untuk proses pemindahan kayu berkenaan.
Katanya, pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati tiga lelaki masing-masing dua warga tempatanbersama seorang krew warga indonesia berusia 18 hingga 60 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Pemeriksaan menyeluruh ke atas dokumentasi bot tunda itu mendapati salah seorang daripada kru terbabit tidak mempunyai daftar di dalam lesen dan gagal memaklumkan pertukaran krew berkenaan.
“Bot tunda, muatan serta juragan bot ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 keranadidapati melanggar syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, semua barangan termasuk bot tunda bersama barge dan muatan kayu balakdengan anggaran nilaian lebih RM300,000 ditahan sehingga siasatan selesai.
Statistik tangkapan Zon Maritim Tawau merekodkan 61 kes pelbagai kesalahan bagi suku tahun pertama 2024 di mana 12 kes direkodkan ketika Ops Khas Pagar Laut 1/2024 dilancarkan.
Katanya, APMM akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE). – Info X