Search

Stor simpanan kabel milik SESB terbakar

April 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Stor penyimpanan kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Batu 7, Jalan Tuaran, di sini, terbakar tengah hari tadi.

Kejadian berlaku pada 12.50 tengah hari itu membabitkan kabel SESB yang disimpan di stor berkenaan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkaitan.

SESB akan memberikan makluman terkini sejurus selepas mendapat maklumat lengkap berkaitan kejadian ini kelak.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan stor simpanan kabel milik SESB di Batu 7, Jalan Tuaran, Kota Kinabalu.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.56 tengah hari.

Katanya, seramai 72 anggota termasuk pegawai bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Kota Kinabalu, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah digerakkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran membabitkan stor simpanan kabel SESB dengan anggaran keluasan 1.5 hektar dan telah terbakar 1.2 hektar.

“Turut terbakar sebuah rumah kosong, stor penyimpanan transformers, minyak hyraxoil, mesin feeder pillar bangunan terbakar sepenuhnya,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, usaha memadam masih dijalankan oleh pasukan bomba dengan sumber air dari tangki jentera, pili bomba dan air terbuka iaitu parit.

“Sebarang maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya.