TAWAU: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila cuba disamun seorang lelaki selepas membuat helah mengatakan tayar keretanya pancit sebelum mencekik lehernya.
Kejadian yang berlaku di kawasan letak kereta Pelabuhan Tawau itu turut dirakam video oleh orang awam sebelum tular.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 pagi tadi, mangsa dikatakan hendak masuk ke kenderaan sebelum didatangi oleh lelaki tidak dikenali.
Katanya, suspek telah menegur mangsa dan mengatakan tayar keretanya pancit.
“Suspek secara tiba-tiba terus mencekik leher mangsa dan cuba untuk mengambil barangan berharga milik mangsa tetapi gagal lalu melarikan diri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jasmin berkata, sejurus kejadian itu, mangsa wanita tempatan berusia 32 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Tawau.
“Siasatan diteruskan untuk mengesan lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan melakukan samun.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Izzul Adha Mohd Razali di talian 019-7705577,” katanya. – Info X