SANDAKAN: Kerajaan persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi membina semula jambatan gantung yang rosak akibat banjir di Tuaran dan Penampang, akhir bulan lalu.
Peruntukan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.
“Menyedari keperluan mendesak kepentingan laluan perhubungan bagi masyarakat setempat, Kerajaan Persekutuan bersetuju membina semula jambatan gantung di daerah Penampang dan Tuaran yang rosak akibat banjir dengan peruntukan sebanyak RM1 juta melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN).
“Langkah segera ini adalah tindakan proaktif susulan bencana banjir yang melanda beberapa daerah bermula 30 Jun 2024. Mengikut perincian laporan yang diterima, kejadian itu menjejaskan kehidupan 485 mangsa di kedua-dua daerah dan Putatan,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memberi kenyataan ketika menghadiri Sesi Taklimat Kejadian Bencana dan Laporan Kewangan di Negeri Sabah oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Khairul Shahril Idrus dan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Aminurrahim Mohamed.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana, turut mengarahkan NADMA menempatkan tiga set jambatan Keluli Bermodular (Bailey Bridge) sepanjang 39 meter yang mampu menampung beban seberat 50 tan pada satu-satu masa.
Katanya, kemudahan itu adalah langkah persediaan sekiranya wujud keperluan segera bagi menggantikan jambatan runtuh.
Selain itu, katanya beliau juga mengarahkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk melakukan kajian di kawasan tanah runtuh berdekatan kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang berikutan hujan lebat berterusan pada 23 Jun lalu.
“Tindakan ini akan turut diselaraskan oleh pihak NADMA bagi mengenal pasti tindakan berkaitan yang perlu diambil.
“Selain itu, JMG turut diarah meletakkan pengesan atau sensor pergerakan di cerun-cerun kaki Gunung Kinabalu serta kawasan-kawasan tumpuan penduduk dan pelancong.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) turut disaran melaksanakan pemeriksaan dengan lebih kerap dan mengenal pasti jalan-jalan yang terputus hubungan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM10 juta untuk menangani kesan kemarau di seluruh negara yang mana Sabah adalah antara negeri terjejas.
“Kemarau dilaporkan mula melanda pada pertengahan Mac dan berakhir pertengahan Mei lalu, sekali gus menyebabkan berlaku kekurangan bekalan air bersih di beberapa buah kampung.
“Kerajaan amat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan petani di Sabah apabila tanaman masing-masing tidak mengeluarkan hasil sepatutnya akibat kesan cuaca panas, Kerajaan Persekutuan menggerakkan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Negeri Sabah pada akhir Mac lalu.
“Langkah itu merupakan antara usaha bersepadu kerajaan bagi mengurangkan impak cuaca panas di kawasan terjejas manakala OPA kedua akan dilaksanakan sekiranya keadaan didapati belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan persekutuan berharap segala usaha itu berkesan dalam membantu dan melancarkan kelangsungan hidup rakyat negeri ini mendepani situasi banjir dan kesan kemarau pada masa akan datang.
Jelasnya, segala langkah dan tindakan difikir wajar akan diambil mengikut keperluan kerana kesejahteraan rakyat di Sabah sentiasa menjadi keutamaan. – Info X