KOTA KINABALU: Pengunjung di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, dikejutkan dengan penampakan seekor buaya di perairan pantai berkenaan, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, reptilia berkenaan dikesan oleh anggota Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika sedang menjalankan tugas memasang bendera di kawasan pantai.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, anggota bertugas ternampak satu objek bergerak di dalam air sebelum mendapati ia adalah seekor buaya.
Menurutnya, susulan penemuan itu, anggota penyelamat pantai segera melakukan pemantauan berterusan di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung.
“Bendera merah turut dipasang sebagai amaran dan pengunjung dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti di dalam air buat sementara waktu.
“Hebahan mengenai penampakan buaya juga dilakukan di sekitar kawasan pantai bagi memaklumkan orang awam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, maklumat berhubung penampakan reptilia berkenaan turut dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Kinabalu serta Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut.
Katanya, setakat ini pemantauan masih dijalankan oleh petugas MPP APM di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan pengunjung pantai. – Info X