KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin menyokong kenyataan presiden parti itu berhubung penerimaan bekas ahli kembali ke pangkuan UMNO.
Beliau berkata, kenyataan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menunjukkan kematangan politik dan kerendahan diri UMNO dalam mengembalikan kekuatan parti itu.
“Saya menyokong dan menyanjung tinggi kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuka ruang kepada bekas ahli untuk kembali bersama parti.
“Pendekatan ini bukan sahaja menunjukkan kematangan politik UMNO, malah mencerminkan kerendahan diri parti dalam usaha menyatukan kembali kekuatan dan perpaduan rakyat demi masa depan negara.
“Dalam konteks politik semasa yang semakin mencabar, usaha penyatuan ini merupakan langkah penting untuk menguatkan organisasi serta menghimpunkan semula pengalaman dan kekuatan politik dalam UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyatakan kesediaan UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.
Keterbukaan UMNO itu katanya dibuat di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang turut dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan parti itu.
Mengulas lanjut, Jafry berkata bagi Sabah, kestabilan politik dan hubungan dengan parti nasional yang mempunyai pengalaman pentadbiran amat penting bagi memastikan kepentingan negeri terus dipertahankan dalam kerangka Persekutuan.
“Pendekatan terbuka ini juga mencerminkan kematangan UMNO sebagai sebuah institusi politik yang sentiasa bersedia memperkukuh semula saf perjuangan secara matang, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan.
“Saya berharap usaha ini dapat memperkukuh kesatuan dalam kalangan ahli serta memperluas peranan UMNO dalam agenda pembangunan negara,” katanya.
Sabah adalah antara negeri yang mempunyai ramai pemimpin bekas ahli UMNO, termasuk yang pernah dipecat dan digantung.
Ketika ini, dua pemimpin parti itu, iaitu Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy juga masih digantung.
Penggantungan mereka bermula selepas kedua-duanya menyatakan sokongan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ketika UMNO Sabah menarik sokongan kerjasama dengan gabungan itu pada 2023.
Bagaimanapun, UMNO kembali menyokong kerajaan pimpinan GRS selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu. – Info X