TAWAU: Seekor buaya tembaga seberat kira-kira 200 kilogram berjaya ditangkap selepas operasi hampir 11 jam di kawasan kolam penternakan Asia Aquaculture, Jalan Wakuba, di sini, hari ini.
Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, Leftenan M (PA) Muhammad Anuar Wong Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.05 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.
Katanya, kehadiran reptilia ganas sepanjang 10 kaki 6 inci itu disedari pelajar praktikal yang menjalankan pemeriksaan di sekitar kolam penternakan udang.

“Seramai dua pegawai dan lima anggota APM dikejarkan ke lokasi sebelum bekerjasama dengan tiga pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau diketuai Zulkurnain Hashim yang tiba kemudian.
“Bagi memudahkan operasi, pihak pengurusan kolam mengambil tindakan mengeringkan air kolam yang mengambil masa beberapa jam, sekali gus menjadi antara faktor utama operasi berlarutan sehingga hampir 11 jam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, faktor keselamatan awam menjadi keutamaan menyebabkan pihak Jabatan Hidupan Liar terpaksa melepaskan beberapa das tembakan selepas menilai risiko di lokasi.
“Sebanyak tujuh das tembakan dilepaskan sebelum buaya berkenaan berjaya dikawal dan ditangkap.

“Operasi turut berdepan cabaran apabila cangkuk penangkap buaya patah akibat kekuatan haiwan itu,” katanya.
Beliau berkata, buaya tembaga berkenaan kemudian diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.
“Operasi yang tamat kira-kira jam 7.30 malam itu berjalan lancar tanpa sebarang kecederaan dan semua anggota selamat kembali ke pangkalan,” katanya. – Info X