KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir dilihat berada di hadapan tandas tingkat tiga asramanya pada awal pagi 16 Julai tahun lalu, sebelum ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah tidak lama kemudian.
Perkara itu diceritakan seorang saksi baharu kanak-kanak pada prosiding inkues kematian arwah Zara Qairina di Mahkamah Koroner, di sini, pada Selasa.
Menceritakan semula keterangan saksi berkenaan, peguam Datuk Ram Singh yang mewakili salah seorang saksi kanak-kanak, berkata saksi terbabit yang juga pelajar Tingkatan Dua mendakwa melihat arwah mundar-mandir di hadapan tandas aras tiga.
Katanya, saksi berkenaan yang datang dari asrama Blok B, melihat arwah di lokasi itu antara jam 1 pagi hingga 2 pagi, 16 Julai 2025 ketika dia mahu berjumpa rakan sekelas di asrama Blok A.
Ram berkata, saksi berasa pelik dan risau melihat keadaan itu lalu naik ke aras tiga melalui tangga belakang untuk memastikan keadaan arwah Zara.
“Apabila sampai ke aras tiga, saksi menyedari bahawa pelajar itu ialah Zara. Wajahnya kelihatan merah dan Zara seperti baru menangis,” katanya selepas prosiding pada Selasa.
Beliau berkata, Zara yang menyedari kehadiran saksi kemudian memanggil namanya sebelum saksi bertanya mengenai keadaannya pada masa itu.
Katanya, arwah Zara kemudian menyatakan mahu berpindah sekolah tetapi enggan menjelaskan punca dia mahu berbuat demikian.
Selepas itu, katanya saksi mendakwa arwah Zara menyebut ‘saya mahu terjun’, menyebabkan saksi terkejut sebelum menasihatkannya supaya tidak mengambil tindakan itu.
Ram berkata saksi pada mulanya kurang pasti sama ada Zara bersungguh-sungguh atau hanya bergurau memgenai apa yang dikatakannya kerana sebelum ini arwah pernah beberapa kali menyebut perkara yang sama.
“Namun saksi tetap menasihati Zara supaya bertenang. Tempoh saksi bersama dengan Zara pada ketika itu ebih kurang 10 minit. Saksi memegang tangannya dan membawanya masuk semula ke biliknya,” katanya.
Katanya, selepas arwah Zara masuk ke bilik, saksi menutup pintu biliknya dengan harapan Zara akan berehat dan tidur, sebelum saksi bergerak balik ke biliknya di Blok B.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah bangunan asramanya pada kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik yang teruk pada 17 Julai ketika dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE), di sini.
Ram berkata, saksi berkenaan hanya mengetahui kejadian yang menimpa arwah Zara selepas solat Subuh pada awal pagi yang sama.
Inkues kematian Zara yang bermula sejak September tahun lalu dibuat bagi merungkai punca kematian pelajar tingkatan satu itu. – Info X