TAWAU: Seorang lelaki warga tempatan maut selepas kenderaan pikap dipandunya terbabas sebelum berpusing dan terhenti dalam parit di Batu 9, Jalan Kalabakan, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dari Klinik Kalabakan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 4.30 petang.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux bersama seorang penumpang lelaki warga asing berusia 40 tahun dalam perjalanan dari bandar Tawau menuju ke Keningau sambil membawa muatan ikan baulu dan udang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian yang merupakan jalan berselekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan.
“Kenderaan itu kemudian berpusing menghala semula ke arah Tawau sebelum terhenti di dalam parit di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, pemandu tercampak keluar melalui cermin hadapan sebelum terjatuh ke dalam longkang kecil di bahu jalan.
Katanya, penumpang pula tersepit di tempat duduk hadapan, namun berjaya dikeluarkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
“Penumpang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai khususnya pemandu yang membawa muatan supaya lebih berhati-hati dan mengawal kelajuan, terutama ketika melalui jalan berselekoh.
“Pemandu diingatkan agar tidak memandu secara cuai atau melulu kerana boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X