KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang RM1 juta kepada Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bagi melaksanakan program pembangunan bola sepak pada tahun ini.
Sumbangan itu disampaikan pada satu majlis ringkas di pejabat SAFA, di sini oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim kepada Pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang.
Turut hadir Pengurus Kanan Sumber Manusia dan Khidmat Korporat CIS, Ezrie Ag Raini dan Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah.
Japlin berkata, sumbangan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan CIS dalam menyokong pembangunan bola sepak di Sabah, khususnya dalam memperkukuh program pembangunan bakat serta mempertingkat prestasi pasukan negeri.
“CIS percaya sukan bola sepak mampu menjadi platform penting dalam membentuk disiplin, semangat berpasukan dan jati diri dalam kalangan generasi muda. Justeru, sokongan seperti ini wajar diteruskan demi masa depan sukan negeri,” katanya.
Sementara itu, Awang Kadin merakamkan penghargaan atas sumbangan berkenaan yang disifatkan sebagai suntikan moral dan kewangan dalam usaha memperkasa arena bola sepak Sabah.
Sumbangan itu juga, katanya mencerminkan komitmen tinggi CIS dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pembangunan komuniti, pendidikan dan sukan di negeri ini. – Info X