Search

Memandu mabuk, warga Indonesia didenda RM10,000, penjara 3 minggu

April 1, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Seorang warga Indonesia dipenjara tiga minggu dan denda RM10,000 selepas mengaku bersalah memandu di bawah pengaruh alkohol ketika dihadapkan di Mahkamah Majistret Papar, di sini, pada Selasa.

Tertuduh, Mohd Iskandar Aluidin, 39, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk pada Ogos 2025.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika dalam perjalanan dari pekan Papar ke Benoni pada jam 10.45 malam, 1 Ogos 2025.

Pemeriksaan awal mendapati tertuduh disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.

Hasil laporan analisis toksikologi oleh Jabatan Kimia Malaysia kemudian mengesahkan kandungan alkohol dalam darah tertuduh adalah sebanyak 295 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah, iaitu jauh melebihi had yang dibenarkan sebanyak 50 mg/100 ml darah.

Berikutan itu, Majistret Zuraini Ali Musa menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan tiga minggu penjara terhadap tertuduh.

Tertuduh kemudian membayar denda dan dihantar ke Penjara Kepayan, Kota Kinabalu bagi menjalani hukuman penjara selama tiga minggu.

Kes berkenaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Inspektor Desmond Tanggapan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, kes itu disiasat Pegawai Penyiasat Polis, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir, menerusi satu kenyataan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan tidak memandu di bawah pengaruh alkohol.

Katanya, perbuatan itu boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

“Kerjasama semua pihak dalam memastikan keselamatan jalan raya amatlah dihargai,” katanya. – Info X