PAPAR: Seekor buaya tembaga betina seberat hampir 100 kilogram berjaya ditangkap di kawasan kebun Kampung Seberang Benoni, di sini, hari ini.
Kejadian itu disedari oleh pemilik kebun berkenaan yang terdengar bunyi mencurigakan ketika sedang memotong rumput.
Dia kemudian memeriksa dan terkejut apabila menemui seekor buaya sedang mengawasi telurnya sebelum menghubungi Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Papar, untuk bantuan menangkap reptilia berkenaan.
Pegawai APM Daerah Papar, Leftenan (PA) Abd Razaq@Bensuad Basir berkata, tujuh anggota termasuk pegawai digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 1.45 tengah hari.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati seekor buaya tembaga betina sedang mengawasi telur di sarangnya di kawasan kebun pengadu.
“Pasukan APM dengan menggunakan peralatan khas kemudian menjalankan operasi menangkap buaya berkenaan.
“Hampir 30 minit buaya seberat hampir 100 kilogram itu berjaya ditangkap bersama 55 biji telur,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di lokasi mendapati buaya itu dipercayai dari anak sungai yang terletak berhampiran dengan kebun pengadu.
“Haiwan sepanjang tiga meter itu kemudian dibawa ke pejabat APM Papar dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah,” katanya. – Info X
