Search

Rakyat Sabah hargai jaminan PM laksana segera MA63 – Victor

May 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Penaja Parti Gegasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan, Datuk Victor P Paut menyambut baik komitmen serta usaha Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyelesaikan isu berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap isu berkenaan dapat dilaksanakan segera memandangkan ia telah tertangguh sekian lama.

“Ia adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan diharapkan oleh rakyat di Sabah, dan sesungguhnya sebagai rakyat Sabah, saya menghargai jaminan yang disuarakan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan, di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC), di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Victor (kanan) merakam gambar kenangan bersama rakan delegasi GRS Datuk Iskandar Malik Jangkat di luar perkarangan Dewan PWTC, Kuala Lumpur.

Anwar ketika menyampaikan ucapan pada konvensyen itu memberi jaminan, isu MA63 yang tertangguh puluhan tahun akan dilaksanakan segera, termasuk segala janji yang telah dimeterai dalam pembentukan Malaysia.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam sesi ucapan pimpinan utama majlis Konvensyen itu juga memberi jaminan bahawa suara dan tuntutan berkaitan hak-hak kepentingan Sabah di dalam MA63 tidak berasaskan kepentingan negeri semata-mata tetapi demi kesejahteraan negara.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, tuntutan berkenaan adalah berlandaskan komitmen menjunjung Perlembagaan Persekutuan sekali gus percaya bahawa kemajuan dan kejayaan negeri Sabah mampu memberi makna besar kepada negara.

“Kita amat hargai usaha Perdana Menteri untuk melaksana isu-isu tertangguh dalam MA63 ini dan berharap supaya usaha ini didukung oleh seluruh penggubal dan pelaksana dasar Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut menyampaikan ucapan pada Konvensyen berkenaan berkata, agenda MA63 perlu diselesaikan berikutan sejarah pembentukan Malaysia pada 1963 dilihat ‘terlepas pandang’ terhadap aspirasi Sabah dan Sarawak, sehingga memberi kesan kepada pembangunan kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata, jaminan Perdana Menteri agar isu itu dilaksana tanpa merujuk kepada jawatankuasa khas memberikan berita gembira untuk Rakyat Sabah. – Info X