KOTA MARUDU: Seorang pengedar dadah cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menanam dadah jenis syabu di seberang sungai kecil, berhampiran sawah padi di sebuah kampung, di Tandek, dekat sini.
Bagaimanapun, perbuatan lelaki tempatan berusia 46 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, pada jam 3 petang, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, hasil siasatan mendapati, suspek dipercayai aktif mengedar dadah sekitar kawasan daerah ini, Tandek dan Pitas.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek, polis merampas dadah jenis syabu dengan berat 1,509.0 gram bernilai RM49,500.
“Hasil soal siasat terhadap suspek telah membawa kepada penemuan 10 peket plastik lutsinar saiz sederhana dan satu bungkusan plastik lutsinar saiz besar berisi dadah jenis Methamphetamine atau syabu.
“Dadah syabu seberat 1,509.0 gram itu disembunyikan dan ditanam oleh suspek di kawasan seberang sungai kecil berhampiran sawah padi di sebuah kampung di kawasan Tandek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zairolnizal berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine.
“Suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) akta sama.
Sementara itu, Zairolnizal meminta orang ramai khususnya di daerah ini supaya salurkan maklumat sebarang kejadian jenayah ke Bilik Gerakan Polis IPD Kota Marudu menerusi talian 088-66244. – Info X