Search

Budak 9 tahun maut, motosikal rempuh pikap di Batu 2 Tawau

January 10, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut, manakala bapanya parah selepas motosikal dinaiki mereka merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Batu 2, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 5.36 pagi itu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah, manakala bapanya yang berusia 48 tahun mengalami kecederaan serius di bahagian dada dan perut.

Seorang lagi pembonceng motosikal, abang mangsa berusia 13 tahun, dilaporkan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah pikap Toyota Hilux dan motosikal jenis Husky 150 SE.

“Motosikal itu ditunggang lelaki tempatan bersama dua anak lelakinya sebagai pembonceng dalam perjalanan dari Bandar Tawau menuju ke Pekan Kunak.

“Pemandu pikap pula adalah seorang wanita berusia 63 tahun yang bergerak dari kediamannya di Jalan Pantai ke Pasar Sin On,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, setibanya pikap berkenaan di persimpangan lampu isyarat Batu 2, lampu isyarat ketika itu berwarna hijau dan pemandu sudah memasuki simpang Jalan Bunga Raya.

“Secara tiba-tiba motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai ditunggang dengan laju melanggar bahagian hadapan kiri pikap berkenaan.

“Akibat rempuhan itu, pemandu pikap hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan, melanggar sebuah Proton Saga yang diparkir dan seterusnya merempuh sebuah kedai gunting rambut berhampiran,” katanya.

Menurutnya, pembonceng motosikal berusia sembilan tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Wad Kecemasan Hospital Tawau, manakala pemandu pikap dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu dengan melulu atau membahayakan.

“Sehubungan itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, tidak memandu atau menunggang dengan laju terutama di persimpangan lampu isyarat, serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain,” katanya. – Info X