RANAU: Kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran air sungai disegerakan berikutan kejadian banjir yang menjejaskan penduduk Kampung Mohimboyon dan Lipantai, di sini, pada Jumaat.
Menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata beliau sudah mengarahkan pihak yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera sebagai langkah memastikan kejadian itu tidak berulang.

“Antara tindakan yang dilaksanakan segera ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembetung baharu, penambahbaikan laluan air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan risiko banjir berulang.
“Langkah berkenaan penting bagi memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin, khususnya ketika keadaan cuaca tidak menentu,” katanya.

Dalam kejadian itu, sebanyak 19 kenderaan yang terperangkap akibat laluan dinaiki air berjaya diselamatkan sukarelawan pacuan empat roda dari Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.
Pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung berkenaan bagi memastikan keadaan terkawal dan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Masidi yang juga ADUN Karanaan, berkata Pusat Khidmat DUN Karanaan sentiasa bersiap sedia untuk memantau dan memberi bantuan di kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh berikutan hujan lebat. – Info X