Search

Lelaki hilang akibat bot bertembung ditemui meninggal dunia

January 11, 2026

Info X Reporters

SEMPORNA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan hilang di perairan Seafest, di sini, berakhir apabila mangsa ditemukan meninggal dunia pagi tadi, selepas tiga hari operasi dijalankan.

Mangsa, Rosman Kandau, 24, ditemukan oleh orang awam pada jam 8.37 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Mohd Akhimullah Adan berkata, operasi SAR hari ketiga dimulakan pada jam 6.30 pagi dengan radius pencarian diperluaskan menggunakan aset sedia ada termasuk bot penyelamat.

“Pada jam 8.37 pagi, pihak bomba menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bahawa mangsa ditemui oleh orang awam.

“Pasukan SAR bergerak ke lokasi pada jam 8.45 pagi sebelum mangsa dibawa ke Jeti Marin dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba mengangkat mayat dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, operasi yang disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.44 pagi.

Terdahulu, Rosman dilaporkan hilang selepas berlaku perlanggaran dua bot penumpang di perairan Seafest pada jam kira-kira 8 pagi, Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, insiden berkenaan membabitkan tujuh individu, dengan enam mangsa lain dilaporkan selamat. – Info X