KOTA KINABALU: “Tolong jaga atau letakkan anak di rumah anak yatim. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menjaga anak ini, keadaan dan bukan rezeki saya untuk besarkan dia. Terima kasih banyak banyak.
Demikian antara isi kandungan nota yang ditemui bersama seorang bayi perempuan di sebuah Masjid Taman Seri Gaya, Jalan Maktab Gaya, Luyang, di sini, malam tadi.
Bayi yang dibaluti kain ditemui imam masjid berkenaan di kawasan tempat wuduk, kira-kira jam 9 malam.

Imam masjid, Adzwan Erman, 28, berkata ketika kejadian dia bersama isteri dan anaknya baru sahaja tiba di masjid dan ketika keluar dari kenderaan untuk masuk ke rumahnya yang terletak di belakang masjid lalu terdengar bunyi bising.
“Ketika itu, saya ingatkan bunyi kucing kerana masjid terletak berhampiran perumahan. Saya kemudian membawa isteri dan anak masuk ke dalam rumah.
“Lalu saya keluar semula untuk mengambil barang dan bunyi itu semakin kuat seakan tangisan bayi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Adzwan berkata, curiga dengan suara itu, dia kemudian memeriksa sebelum menyedari ada sebuah kotak di tempat wuduk.

“Saya terkejut apabila melihat bayi perempuan dibaluti kain di dalam kotak itu, lalu mengangkat dan membawanya masuk ke dalam masjid. Terdapat surat bersama bayi terbabit.
“Saya kemudian memberitahu ahli masjid sebelum mereka menghubungi pihak polis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan nota yang ditinggalkan bersama bayi yang cukup sifat itu dilahirkan pada 31 Oktober lalu.
Katanya, individu yang meninggalkan bayi itu memohon maaf kerana tidak dapat menjaga bayinya atas faktor ketidakmampuan serta meminta supaya bayi itu dihantar ke rumah anak yatim.

“Bayi dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mendedahkan dan membuang kanak-kanak yang umurnya kurang daripada 12 tahun oleh ibu bapa atau penjaga,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya menyeru orang remai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat kes Inspektor Hatikah Ahmad di talian 016-8337246. – Info X