Search

UMNO Labuan sambut baik sokongan Suhaili kepada PM

November 6, 2023

Info X Reporters

LABUAN: UMNO bahagian Labuan menyambut baik tindakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abd Rahman yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Ketuanya, Datuk Mohd Raffi Mohd Ali Hassan berkata, parti itu berbesar hati dengan pengumuman itu yang dilihat mengukuhkan lagi kestabilan kerajaan yang dianggotai pelbagai parti politik.

“Kami menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada beliau yang mengeluarkan kenyataan secara rasmi memberi sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dengan sokongan beliau telah membuktikan Kerajaan Perpaduan stabil serta kekal sehingga habis penggal nanti.  Ianya juga membuktikan dan menepis khabar angin bahawa pihak pembangkang mengambil alih Kerajaan,” katanya ketika pada majlis pelancaran program Sentuhan Kasih dan Makan Tengahari Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Raffi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan pihaknya tidak mahu mencampuri isu tersebut dan akan terus menjalankan kerja-kerja mendekati rakyat di Labuan dan sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti.

“Apa-apa tindakan susulan pengumuman beliau dengan statusnya dalam partinya, itu kita tidak mahu campur tangan akan meneruskan program-program Peduli Rakyat untuk membantu rakyat yang ditimpa kesusahan.

“Perkara yang penting pada PRU akan datang kita akan bertanding tanpa mengira parti mana yang dihadapi untuk merebut semula kerusi Labuan. Pada masa ini kita perlukan menjaga keharmonian pulau ini dan saya tidak mahu bermusuh-musuh samada dipihak Kerajaan atau pembangkang,” jelasnya. – Info X