KOTA KINABALU: Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 yang mula berkuat kuasa pada 16 Jun lalu sebagai langkah memperkukuh perlindungan terhadap mangsa buli serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, harmoni dan berteraskan nilai kemanusiaan.
Pengerusinya, Yazid Mohd Hasnan Tawik @ Charles, berkata penguatkuasaan akta berkenaan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menangani gejala buli yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar terhadap kesejahteraan fizikal, emosi serta mental mangsa.
Beliau berkata, isu buli tidak lagi boleh dianggap sebagai perkara remeh kerana kesannya boleh berpanjangan sehingga menjejaskan keyakinan diri, prestasi akademik, hubungan sosial dan masa depan mangsa.
“Buli dalam apa jua bentuk sama ada fizikal, lisan, psikologi, sosial mahupun siber adalah perbuatan yang tidak boleh diterima dalam masyarakat yang bertamadun.
“Setiap individu berhak hidup, belajar dan bekerja dalam suasana yang selamat, dihormati serta bebas daripada sebarang bentuk gangguan, ancaman atau intimidasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, pelaksanaan Akta Antibuli 2026 bukan saja memberi perlindungan undang-undang yang lebih jelas kepada mangsa, malah berperanan sebagai mekanisme pencegahan bagi membendung budaya buli daripada terus menular dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak termasuk sekolah, institusi pengajian tinggi, asrama, organisasi, ibu bapa, pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan agar berganding bahu dalam usaha mendidik serta membentuk generasi yang menghormati hak orang lain.
“Pendidikan mengenai nilai hormat-menghormati, empati, kasih sayang dan tanggungjawab sosial perlu diterapkan sejak usia muda bagi melahirkan masyarakat yang lebih beradab dan berintegriti.
“Pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan. Oleh itu, usaha membanteras buli memerlukan komitmen berterusan daripada semua lapisan masyarakat, bukan hanya bergantung kepada penguatkuasaan undang-undang semata-mata,” katanya.
Beliau turut menyambut baik penubuhan Tribunal Antibuli yang diperuntukkan di bawah akta berkenaan kerana ia dapat menyediakan saluran yang lebih teratur dan berkesan bagi memastikan aduan mangsa diberi perhatian sewajarnya serta keadilan dapat ditegakkan.
Jelasnya, kewujudan tribunal itu akan meningkatkan keyakinan masyarakat untuk tampil melaporkan kes buli tanpa rasa takut atau bimbang terhadap sebarang bentuk tekanan.
“Persatuan Kebajikan Masyarakat Bingkor berharap pelaksanaan Akta Antibuli 2026 akan menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat yang lebih prihatin, berakhlak mulia, saling menghormati dan menolak sebarang bentuk keganasan serta penindasan.
“Buli bukan budaya kita. Hentikan buli, suburkan nilai kemanusiaan, hormat-menghormati dan kasih sayang demi membina masa depan yang lebih aman, selamat dan sejahtera untuk semua,” katanya. – Info X