KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Kampung Kesapang, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian jam 5.40 petang itu, mangsa yang dipercayai sedang memancing di parit kiri dan kanan jalan berhampiran lokasi kejadian.
Mangsa kemudian dipercayai tiba-tiba berlari ke arah jalan raya sebelum dirempuh sebuah Perodua Bezza dan seterusnya dilanggar sebuah lori yang berada di belakang kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan awal mendapati Perodua Bezza yang dipandu lelaki berusia 27 tahun dan lori Isuzu dipandu lelaki berusia 31 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud ketika kejadian berlaku.
Menurutnya, mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri Perodua Bezza sebelum tercampak ke atas jalan raya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa dilanggar lori Isuzu yang berada di belakang kereta terbabit.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk tindakan bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika berada berhampiran jalan raya serta memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa dipantau bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X