KOTA KINABALU: Ketua Umno Sabah Datuk Bung Moktar Radin yakin parti itu akan kembali memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, walaupun kemelut dalam Umno di Sabah berlarutan namun beliau yakin akan kembali kukuh terutama selepas pemilihan parti yang bakal diadakan nanti.
“Demikian juga pada ketika apabila Umno Sabah bukan lagi sebahagian daripada kerajaan, terlalu ramai yang meninggalkan Umno…yang pergi ini adalah mereka yang tidak ada pertahanan, tidak berintegriti, tidak memikirkan keuntungan parti kerana mereka mementingkan diri sendiri dengan alasan untuk kestabilan politik dan sebagainya tapi itu cuma alasan yang tidak kukuh dan jelas.
“Saya cukup yakin di Sabah walaupun kemelut UMNO ini berlarutan tetapi saya melihat UMNO akan kembali memerintah negeri Sabah selepas PRU akan datang.
“Begitu juga dengan keadaan kelainan politik Umno di Sabah namun kita pada ketika ini Presiden telah maklumkan bahawa Barisan Nasional (BN) di Sabah menyokong kerajaan perpaduan negeri ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Bung turut mengingatkan anggota Umno agar jangan meninggalkan parti kerana parti berkenaan berbeza dengan parti-parti politik lain yang ada.
Katanya yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, parti ini berstruktur dan juga memiliki pengikut-pengikut di bawah iaitu ahli-ahli akar umbi yang mempunyai kekuatan yang tegas.
“Sebelum ini ada penganalisa menyatakan bahawa Umno dalam keadaan tenat tetapi respon daripada akar umbi memperlihatkan bahawa Umno adalah sebuah parti yang berbeza dengan parti-parti yang lain.
“Umno dilahirkan daripada sebuah perjuangan untuk pertama sekali memerdekakan negara dan membebaskan rakyat daripada belenggu jajahan British dahulu sedangkan parti-parti yang lain ini ditubuhkan di jalan raya, ditubuhkan atas kuasa, ditubuhkan atas lompatan dan sebagainya.
“Jangan tinggalkan Umno sebab parti ini adalah parti yang mempunyai kelainan dengan parti-parti yang lain,” katanya.
Bung menyorot bagaimana Umno pada satu ketika selepas kalah Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 apabila kebanyakan pemimpin-pemimpinnya meninggalkan parti termasuk di Sabah tetapi ternyata Umno bangkit semula dan kebangkitan berkenaan amat luar biasa.
Namun begitu beliau memaklumkan bahawa Umno Sabah tidak berdiam diri bahkan akan terus mengukuhkan parti ini.
“Saya yakin selepas pemilihan ini UMNO Sabah akan dipimpin oleh mereka yang berintegriti dan bertanggungjawab untuk memperkukuhkan parti.
“Saya akan menyusun strategi parti pada masa akan datang untuk memastikan UMNO Sabah bukan hanya memainkan peranan untuk menghidupkan semula UMNO itu dan memperkukuhkan tetapi yang jelas misi kita untuk memastikan Sabah terkeluar daripada belenggu kemiskinan.
“Sabah harus memperkasakan ekonomi daripada sumber-sumber baharu dan ini penting…tiga perkara infrastruktur Sabah yang mesti diperkasakan iaitu kekurangan air, elektrik dan jalan raya,” katanya. – Info X