Search

Cadangan tangani masalah kemiskinan mutlak akan didedah menjelang PRN – Warisan

August 28, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darell Leiking berkata, parti itu hanya akan mendedahkan kepada umum cadangan parti itu untuk menangani masalah kemiskinan mutlak yang tinggi di kawasan luar bandar Sabah serta pemantapan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Katanya, Warisan akan memberi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masa baki dua tahun lagi untuk membuktikan keupayaan mereka dalam mengangani perkara berkenaan.

“Walaupun kita berhak untuk mendapatkan hak kita dari kerajaan pusat sepertimana yang terkandung dalam MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) serta sebagai balasan kepada minyak dan gas Sabah yang disedut keluar, ianya terpulang kepada GRS jika mereka mahu terus meminta berbilion-bilion ringgit daripada kerajaan pusat untuk membiayai program membasmi kemiskinan mutlak yang kami percaya tidak akan berkesan di negeri ini.

“Warisan secara amnya mengetahui punca mengapa kadar kemiskinan mutlak masih tinggi di beberapa kawasan di negeri ini serta kelemahan inisiatif-inisiatif kerajaan negeri pimpinan GRS seperti MESEJ.

“Kita akan terus meneliti maklum balas diberikan pihak-pihak yang berkepentingan, para peserta dan penduduk setempat untuk membolehkan kita mengusulkan satu pelan rombakan untuk memantapkan lagi fungsi dan kepentingan program ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.   

Darell berkata, Warisan juga berharap, kerajaan pusat dapat melihat potensi Sabah untuk menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), bukan sahaja menerusi eksport komoditi mentah seperti minyak mentah, minyak sawit mentah dan gas asli tetapi melalui pelbagai industri termasuklah untuk menjadi sebuah pusat perdagangan negara yang baru di rantau ASEAN.

Bagaimanapun, katanya, agenda ekonomi berkenaan memerlukan pemimpin-pemimpin Sabah yang bebas dari rasuah, jujur dan benar-benar komited untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Wira Warisan, Khairuddin Daud turur mempersoalkan kesungguhan dan keberkesanan GRS untuk mengurangkan kadar kemiskinan mutlak di negeri ini.

Katanya, kemiskinan di Sabah masih menunjukkan kadar yang tinggi walaupun gabungan berkenaan telah mentadbir selama tiga tahun dan menerima sokongan dari tiga kerajaan Persekutuan yang berlainan.

Beliau berkata, laporan kemiskinan di Malaysia 2022 yang telah diterbitkan pada Julai 2023 menyatakan, insiden kemiskinan mutlak di Tongod berada pada tahap 50.8 peratus untuk 2022 berbanding 56.6 peratus pada 2019, 52.7 peratus (2022) berbanding 53.6 peratus (2019) di Pitas dan 49.9 peratus (2022) berbanding 46.1 peratus (2019) di Kota Marudu.

“Jika diambil kira tempoh tiga tahun GRS mentadbir negeri ini, bantuan kewangan berbilion ringgit yang telah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan pimpinan Muhyiddin Yassin, Ismail Sabri dan kini Anwar Ibrahim serta peningkatan hasil Kerajaan Negeri melalui kutipan cukai keatas petroleum, Warisan berpendapat bahawa perubahan kadar kemiskinan mutlak di Tongod dan Pitas, dan juga di beberapa buah daerah di negeri, ini sebenarnya tidaklah begitu membanggakan.  

“Ini memberikan satu petunjuk bahawa GRS sebenarnya tidak mempunyai kesungguhan dalam menangani insiden kemiskinan mutlak di ketiga-tiga daerah ini serta ketandusan idea dalam meningkatkan taraf ekonomi rakyat Sabah dalam usaha mereka untuk melepasi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negeri yang telah ditetapkan pada RM2,706 (bandar) dan RM2,795 (luar bandar),” katanya dalam kenyataan. – Info X