Search

Polis tahan lelaki warga asing, rampas tiga senjata api buatan sendiri

August 28, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas tiga senapang buatan sendiri dan tujuh butir peluru hidup dalam Op Khas di rumah pekerja di kawasan ladang Serudung, Kalabakan, di sini, kelmarin.

Serbuan sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan kira-kira jam 7.30 malam itu, turut merampas sebilah parang dan dua peket plastik jernih mengandungi ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum ini pihaknya menerima laporan oleh seorang lelaki yang mengatakan salah seorang pekerjanya cedera di jari tangan kiri akibat daripada kesan tetakan senjata tajam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, satu operasi khas dijalankan dan menyerbu sebuah rumah pekerja di kawasan ladang berkenaan.

“Hasil serbuan itu menahan seorang lelaki warga asing dan ketika tangkapan dijalankan, suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan antara polis dan suspek yang cuba melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui sebilah parang, selaras senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan dua laras senapang angin.

“Turut dirampas satu bekas plastik putih berisi tujuh butir peluru berlainan jenama yang disorokkan di dalam bilik suspek bersama dua peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis menahan lelaki warga asing dan merampas senjata api buatan sendiri dan dadah jenis syabu. – Foto/IPD Tawau

Menurutnya, polis juga turut menahan seorang lagi lelaki warga asing yang tinggal bersama suspek kerana disyaki penagih dadah.

“Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat), Seksyen 324/326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Info X