TAWAU: Seorang lelaki dipercayai mencagarkan dokumen kereta milik abang iparnya untuk mendapatkan pinjaman wang sebelum ditahan polis di hadapan sebuah stesen minyak di Bombalai, semalam.
Suspek warga asing berusia 35 tahun itu turut disyaki membawa kereta berkenaan ke Tawau tanpa kebenaran pemiliknya serta mengugut mahu membakar kenderaan terbabit.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau bersama Balai Polis Bombalai kira-kira jam 2.30 petang.
“Suspek mengaku terbabit dalam kes yang dilaporkan di Kinabatangan, manakala polis merampas sebuah Perodua Bezza bersama satu anak kunci dipercayai berkaitan kes berkenaan.
“Siasatan awal mendapati kereta itu milik mangsa dan sebelum ini dipinjamkan kepada adik kandungnya yang juga isteri suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selepas kematian adik mangsa, suspek dipercayai membawa kereta itu ke Tawau tanpa persetujuan pemiliknya.
Katanya, mangsa kemudian menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang menuntut bayaran RM2,500 selepas dokumen kereta atas namanya didakwa dijadikan cagaran pinjaman.
“Suspek juga pernah mengugut mahu membakar kereta terbabit sekiranya mangsa enggan memberikan pinjaman wang kepadanya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sementara itu, Rosdi berkata pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membenarkan pihak lain menggunakan atau membawa kenderaan milik mereka tanpa kebenaran, termasuk menyerahkan dokumen berkaitan kenderaan kepada pihak lain.
“Sekiranya menerima sebarang ugutan atau ancaman, segera laporkan kepada polis dan jangan mengambil tindakan sendiri,” tegasnya. – Info X