Search

Duit tabung masjid pun ‘disapu’

September 19, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tidak cukup mencuri harta orang, wang tabung masjid berjumlah kira-kira RM350 turut menjadi sasaran seorang lelaki di Ladang Kapilit, Batu 8, Kalabakan, Khamis lalu.

Perbuatan itu terbongkar selepas mandor ladang yang juga ahli jawatankuasa masjid menyedari wang berkenaan hilang dipercayai dilarikan individu yang memasuki masjid tidak berkunci.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, laporan dibuat penguat kuasa ladang kira-kira jam 9 pagi pada hari kejadian.

Katanya, suspek warga asing berusia 30-an ditahan kira-kira jam 10.45 pagi semalam.

“Tangkapan dilakukan sepasukan anggota Balai Polis Kalabakan dengan bantuan Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad di hadapan sebuah bengkel di Batu 8, Kalabakan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Rosdi menasihatkan pengurusan masjid dan premis awam supaya meningkatkan kawalan keselamatan terhadap wang tabung serta kawasan premis bagi mengelakkan kejadian sama berulang. – Info X