KOTA KINABALU: Kerajaan perlu memperkukuh penguatkuasaan di sepanjang jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah bagi menjamin keselamatan pengguna dan mengelak kemalangan jalan raya.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata ia boleh dilakukan melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), rondaan berkala dan pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan.
Perkara itu dibangkitkan ketika beliau membahas Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau berkata, apabila jajaran LPB siap sepenuhnya, jumlah kenderaan dijangka meningkat dengan ketara, sekali gus berkemungkinan mendorong sesetengah pemandu memandu laju melebihi had yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Matbali yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) mahu supaya pemeriksaan di pintu sempadan negara terus diperkukuh khususnya terhadap kenderaan luar yang memasuki negara ini.
Katanya, Sipitang mempunyai kedudukan strategik yang menghubungkan Sabah dengan negara jiran dan wilayah bersempadan melalui pintu sempadan Sindumin di Sipitang serta Merapok di Lawas yang menjadi laluan penting dan semakin sibuk.
“Kemasukan kenderaan dari luar negara seperti Brunei Darussalam dan pergerakan rentas sempadan dari Kalimantan, Indonesia, pada masa hadapan memerlukan penguatkuasaan yang lebih tersusun.
“Semua pengguna jalan raya, tanpa mengira asal negara, mestilah mematuhi undang-undang Malaysia. Ini penting kerana soal keselamatan dan pematuhan undang-undang tidak boleh dikompromi,” katanya.
Jelasnya, pemeriksaan dokumen, permit, insurans, lesen memandu dan pematuhan teknikal kenderaan di pintu masuk sempadan perlu diperkasa demi melindungi pengguna jalan raya tempatan.
Mengenai rang undang-undang itu, beliau menyambut baik pindaan yang dibuat dan menyifatkannya sebagai amat relevan bagi negeri Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana kedua-dua negeri ini berdepan cabaran geografi, infrastruktur dan penguatkuasaan yang berbeza berbanding Semenanjung.
“Apabila dilaksanakan kelak, pindaan ini diyakini dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan kadar kemalangan dan memperkukuh penguatkuasaan di seluruh negeri,” katanya.
Matbali berkata skop pindaan yang meliputi empat kategori iaitu digitalisasi, denda, peruntukan baharu dan penambahbaikan peruntukan menjurus ke arah kebaikan, sejajar dasar keselamatan jalan raya yang diamalkan di banyak negara.
Beliau turut merujuk data yang menunjukkan trend peningkatan kemalangan maut dalam beberapa tahun mutakhir ini
“Pada tahun 2022, terdapat 6,080 kes kemalangan maut, meningkat kepada 6,300 kes pada tahun berikutnya, kemudian 6,464 kes pada tahun 2024 dan terus melonjak kepada 6,537 kes tahun lepas
“Pindaan ini penting dalam usaha mendisiplinkan pengguna dan pemandu. Jalan raya bukan gelanggang perlumbaan dan bukan tempat untuk menguji keberanian,” katanya. – Info X